Rogol dan samun pelajar 2 polis didakwa
Oleh – Syeikh Baran

Dua anggota polis disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang di sini minggu lalu akan dituduh di mahkamah esok.
Beliau berkata, seorang daripada suspek turut dituduh mengikut Seksyen 377C, Seksyen 377CA dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Pertuduhan dijangka dibuat pada jam 2 petang esok dan kedua-dua anggota terbabit sudah dikenakan tindakan tahan kerja serta-merta.
“Pihak polis menegaskan tiada siapa akan dilindungi jika terbabit jenayah dan setiap kes akan disiasat serta dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dua anggota polis ditahan pada 10 Januari lalu kerana disyaki terbabit kes samun dan rogol remaja perempuan warga Uzbekistan dalam MPV polis di sekitar Bukit Ampang di sini.
Polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga asing yang juga penuntut di sebuah kolej swasta.
Kejadian dipercayai berlaku pada 9 Januari, jam 10.09 malam ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan dua suspek lelaki yang lengkap beruniform polis.
Seorang suspek disyaki merogol mangsa, manakala rakan lelakinya pula dibawa seorang lagi suspek ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membuat bayaran diminta kedua-dua suspek.
Sumber – Berita Harian