Avitan Shalom boleh jadi orang lain – Peguam

Oleh – Syeikh Baran


Avitan Shalom boleh jadi orang lain – Peguam
Avitan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen pada 12 April lalu.

Pihak pembelaan dalam kes lelaki warga Israel Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan berkaitan senjata api dan peluru hari ini membangkitkan isu berkaitan nama.

Menurut peguam Navinjit Singh, ini kerana pada kertas pertuduhan nama anak guamnya Avitan Shalom sedangkan dalam pasport Perancis yang digunakan untuk memasuki Malaysia adalah Shalom Avitan.



“Mohon pindaan terhadap nama tertuduh di dalam kertas pertuduhan memandangkan bidang kuasa di negara ini menggunakan kaedah nama diberi (given name) disebut dahulu dan nama keluarga (surname) disebut kemudian. Avitan Shalom could be someone else (Avitan Shalom boleh jadi orang lain) ,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Mohamad Mustaffa berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meminda nama tertuduh di kertas pertuduhan pada tahap ini atas alasan ia hanya membabitkan gaya penamaan (naming convention).

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Norina Zainol Abidin berkata mahkamah mengambil maklum bantahan yang dibangkitkan pihak pembelaan namun mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan mengenai perkara itu di akhir perbicaraan kes.

Terdahulu mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 30 September ini bagi perbicaraan kes lelaki warga Israel Avitan Shalom atas dua pertuduhan berkaitan senjata api dan peluru.



Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.



Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button