Pelanggan tentukan sendiri aktiviti dalam tren mengikut syarat – KTMB

Oleh – Syeikh Baran


Pelanggan tentukan sendiri aktiviti dalam tren mengikut syarat – KTMB
Tangkap layar suasana sekitar program Pinkfish Express baru-baru ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa semua aktiviti yang direncana di dalam tren sewa khas (Charter Train) ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan.

Bagaimanapun kata KTMB, aktiviti perlu mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan.



Ini kerana katanya, peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan.

“Merujuk kepada isu Charter Train pada 16 Mei 2024 yang membuat perjalanan pergi dan balik dari Stesen Kuala Lumpur ke Serendah, KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang.

“Ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami,”kata dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut katanya, KTMB akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewa khas demi kepentingan orang awam dan syarikat.



Malah katanya, perkhidmatan yang diperkenalkan sejak 2021 itu telah mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan.

Terdahulu, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial.

Menerusi beberapa gambar dan klip video yang tular di pelbagai platform, kelihatan suasana gerabak meriah dengan lampu berwarna-warni selain terdapat pengunjung sedang menari sambil mendengar lagu dimainkan oleh DJ.

Difahamkan program dikenali sebagai Pinkfish Express yang berlangsung pada 16 Mei lalu itu merupakan festival hiburan pertama di Asia Tenggara diadakan di atas kereta api.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button