Beras RM2.1 juta dirampas, premis tidak berlesen diserbu

Oleh – Syeikh Baran


Beras RM2.1 juta dirampas, premis tidak berlesen diserbu
Antara beras yang dirampas KPB dalam satu serbuan di Sarawak baru-baru ini. – Foto IHSAN KPKM

Sejumlah 645.75 tan metrik beras pelbagai gred termasuk beras putih import (BPI) yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta dirampas di sebuah gudang di Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Rampasan itu dibuat menerusi serbuan sepasukan penguat kuasa Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui operasi bersepadu Op Taring Bravo 3 bermula 15 Mei lalu.



Menurut KPKM, serbuan turut dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) selama dua hari di sekitar daerah itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan berkenaan tidak mempunyai lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“KPB menyita stok beras tersebut berserta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah Akta 522 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 P.U (A) 624,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KPKM berkata, siasatan turut dijalankan terhadap syarikat tersebut sama ada terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi iaitu BPI.



Pada masa sama, KPB memberi peringatan kepada semua pemegang lesen supaya mematuhi perundangan di bawah Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button