‘Lubang maut’ ancam 5,000 penduduk Puncak Alam

Oleh – Syeikh Baran


‘Lubang maut’ ancam 5,000 penduduk Puncak Alam
HARRISON (tengah) bersama penduduk melihat salah satu ‘lubang maut’ di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor semalam. – ISKANDAR SHAH MOHAMED

Lebih 5,000 penduduk Taman Alam Jaya dan Alam Perdana, Puncak Alam, di sini terpaksa menempuh lebih lima ‘lubang maut’ sepanjang tiga kilometer di laluan utama mereka setiap hari.

Lebih membimbangkan, laluan tersebut juga kerap berlaku­nya kemalangan dengan tiada tindakan proaktif dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT).



Wakil penduduk, Kamal Abdul Rashid, 63, berkata, isu itu membelenggu sejak dia menetap di kawasan berkenaan pada 2005.

“Ia berpunca apabila laluan itu perlu dikongsi dengan kenderaan berat yang mengangkut barang bagi projek pembangunan perumahan berdekatan selain cuaca tidak menentu terutama hujan.

“Ini menyebabkan struktur jalan mudah pecah hingga berlubang. Penduduk jemu dengan isu ini yang tiada berkesudahan biarpun telah diajukan berulang kali kepada pihak berwajib.

“Kami terpaksa menyabung nyawa setiap hari kerana ia me­rupakan laluan utama untuk berulang-alik atas urusan kerja dan menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.



Shafid Hanafi Salleh, 34, pula berkata, sebahagian laluan sedia ada juga tidak dilengkapi papan tanda keselamatan sekali gus merisikokan nyawa pengguna.

“Berdasarkan pengamatan, terdapat lebih lima lubang pelbagai saiz di laluan ini. Meskipun turapan dilakukan, namun ia kembali berlubang. Ini memberi kesan psikologi kepada pengguna dan penduduk terhadap ke­selamatan mereka,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang meninjau lokasi itu mengakui menerima ratusan aduan mengenainya yang sudah lama diperjuangkan penduduk.

Beliau menegaskan beberapa langkah penyelesaian akan diambil selepas meninjau lokasi bersama wakil Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan beberapa syarikat pemaju perumahan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button