Mikroplastik dalam testikel lelaki

Oleh – Syeikh Baran


 

Satu kajian baharu mendapati bahan pencemaran, mikroplastik ditemui di dalam testikel manusia, lapor akhbar The Guardian kelmarin.



Penemuan itu mencetuskan kebimbangan mengenai tahap kesuburan lelaki akibat penurunan bilangan sperma.

Kumpulan saintis yang terlibat melakukan kajian ke atas 23 lelaki serta 47 haiwan peliharaan. Mereka menemui pencemaran mikroplastik dalam setiap sampel tersebut.

Menurut ketua pengarang kajian, Profesor Xiaozhong Yu dari Universiti New Mexico, pada awalnya, beliau ragu untuk mempercayai bahawa mikroplastik boleh memasuki sistem pembiakan manusia dan haiwan.

“Namun, apabila saya menerima keputusan kajian ke atas haiwan peliharaan, saya berasa terkejut. Saya lebih terkejut apabila melihat sampel untuk manusia,” katanya.



Testis yang dianalisis itu diperoleh daripada pelbagai bedah siasat pada 2016 terhadap lelaki berusia antara 16 hingga 88 tahun selepas mereka meninggal dunia.

“Kesan kepada generasi muda mungkin lebih membimbangkan kerana terdapat lebih banyak plastik berbanding sebelum ini di alam sekitar,” kata Yu.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Toxicological Sciences itu mendapati, testis manusia mempunyai kepekatan mikroplastik yang lebih tinggi.

Pencemaran zarah plastik yang biasa ditemui pada hari ini termasuk polietilena dan polivinil klorida (PVC). – AGENSI



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button