10 bot laju musnah, kilang gentian kaca terbakar
Oleh – Syeikh Baran
Sebanyak 10 buah bot laju musnah selepas sebuah kilang pemprosesan gentian kaca terbakar dalam kejadian di Batu 8, Jalan Labuk di sini semalam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.20 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui bersama 27 anggota ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah kilang pemprosesan gentian kaca jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.
“Turut musnah terbakar 10 buah bot laju,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi terkawal pada pukul 11.25 pagi dan ditamatkan pada pukul 3.30 petang.
Sumber – KOSMO! ONLINE