Beli diesel guna permit palsu, jual semula di pasaran gelap
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di Paka di sini kelmarin.
Dalam serbuan di sebuah stesen minyak pada pukul 10 malam itu, pasukan penguat kuasa KPDN berjaya merampas 400 liter diesel disyaki bersubsidi bernilai keseluruhan RM41,000.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan sama berjaya menahan seorang pemandu lori berusia 20-an disyaki anggota sindiket penyeludupan berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan menjumpai 14 tong plastik mengandungi minyak diesel bersubsidi tersebut.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi membeli minyak diesel dari stesen-stesen minyak sekitar mukim Paka dan daerah Kemaman menggunakan permit barang kawalan palsu.
“Minyak diesel tersebut dipercayai kemudiannya diisi di dalam tong plastik sebelum dijual untuk kegunaan di kawasan perindustrian sekitar daerah ini dan Kemaman secara pasaran gelap,” katanya di sini hari ini.
Saharuddin berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menjejak rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi itu.
Beliau berkata, kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sumber – KOSMO! ONLINE