Geng Capang aktif pecah pejabat kerajaan, sekolah tumpas
Oleh – Syeikh Baran
Polis berjaya menumpaskan Geng Capang yang aktif melakukan pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah dan Perak sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejayaan itu hasil operasi Ops Capang yang berjaya menahan 11 ahli geng tersebut di empat lokasi di negeri ini dan Perak pada kelmarin.
Katanya, mereka terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun yang berasal dari Baling, dekat sini.
“Kebanyakan mereka mempunyai talian persaudaraan dan dengan tertangkapnya kumpulan itu, kita percaya telah menyelesaikan 25 kes pecah bangunan kerajaan dan sekolah di Kedah serta dua kes di Perak.
“Kebiasaanya mereka akan memasuki kawasan sekolah atau pejabat kerajaan pada awal pagi dengan cara memotong pagar belakang. Antara barangan yang menjadi sasaran mereka adalah komputer riba serta tablet milik kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Kata beliau, kumpulan itu menjadikan pejabat kerajaan serta sekolah sebagai sasaran kerana menganggap lokasi tersebut sebagai sasaran mudah.
Sumber – KOSMO! ONLINE