Cuaca buruk di Terengganu, Pahang petang ini
Oleh – Syeikh Baran
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kebanyakan tempat seluruh negara terutamanya kawasan pedalaman Semenanjung.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat berserta ribut petir dijangka tertumpu di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor, serta boleh berlarutan sehingga awal malam ini.
“Di Sabah pula, cuaca buruk sama dijangka tertumpu di beberapa tempat di Sabah melibatkan Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat.
“Selain itu, ia diikuti Sarawak iaitu tertumpu di Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit) dan Bintulu sehingga 4 petang,” katanya.
Bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir dan hujan lebat masih diramalkan di beberapa tempat di Terengganu dan Pahang.
“Cuaca lembap dan hujan juga diramalkan di beberapa tempat melibatkan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Selain itu, cuaca buruk sama turut dijangka di Malaysia timur melibatkan Labuan, Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan di Sabah serta Kuching, Sri Aman, Betong, Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak menjelang malam ini,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE