Pegawai JKR Hulu Terengganu didenda RM10,000 tidak maklum terima rasuah RM90,000
Oleh – Syeikh Baran
Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu didenda RM10,000 kerana tidak melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM90,000 berhubung tender projek penyelenggaraan cerun pada sembilan tahun lalu.
Hakim Mohd. Azhar Othman memutuskan demikian selepas tertuduh, Md. Shahrul Haizal Mohamad, 45, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan berkenaan.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Md. Shahrul Haizal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa tidak melaporkan pemberian suapan berjumlah RM90,000 untuk dirinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Kosmo! 6 April 2021 melaporkan Md. Shahrul Haiza didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan setelah mendapatkan projek kerja-kerja penyenggaraan cerun runtuh di Jalan Felda Tersat, Hulu Terengganu yang bernilai RM96,780.
Dia yang juga pegawai penyelia tapak projek berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Terengganu pada 29 Julai 2015.
Sumber – KOSMO! ONLINE