Jenazah Sarjan Faridah selamat dikebumikan di Pokok Sena

Oleh – Syeikh Baran


Jenazah Sarjan Faridah selamat dikebumikan di Pokok Sena
Suami arwah, Noor Azmi Ariffin menyiram air mawar ke atas pusara Allahyarham Faridah yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar Kampung Tengah Tualang, Pokok Sena, hari ini.

Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang meninggal dunia pada Sabtu lepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang di sini hari ini.

Jenazah Sarjan Faridah Abd. Rahman, 39, dikebumikan pada pukul 10.20 pagi tadi setelah solat jenazah yang diimamkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan, Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).



Upacara pengebumian jenazah yang tiba di pekarangan masjid pada pukul 9 pagi itu dilaksanakan dengan penuh istiadat ketenteraan sebagai penghormatan terakhir.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd. Akmar Mohd. Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Faridah.

Perjalanan terakhir ibu kepada empat anak itu turut disaksikan lebih 500 orang termasuk ahli keluarga, rakan serta penduduk setempat yang membanjiri masjid seawal pukul 8 pagi.

Suasana masjid menjadi hiba dengan wajah-wajah sayu anggota keluarga sebaik sahaja jenazah tiba apabila masing-masing diberi kesempatan untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir.



Allahyarham Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas rebah ketika turun dari bas di Kem Marakah, Lubnan selepas pulang bercuti selama sebulan di Malaysia. 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button