Langkah, duduk atas kubur perbuatan haram – UAI
Oleh – Syeikh Baran
Tindakan dua wanita yang sengaja melangkah sebuah kubur dianggap tidak beradab dan hukumnya adalah makruh.
Malah menurut penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus jika ada individu sengaja duduk di atas kubur perbuatan tersebut adalah haram.
Menjelaskan lagi perkara itu, Azhar berkata, Nabi Muhammad S.A.W turut melarang umatnya melangkah kubur atau memijak kubur.
Ini kerana katanya, orang yang sudah meninggal dunia itu perlu dihormati seperti orang yang masih hidup.
“Sebab itu bila orang mati, mayatnya kita bawa perlahan-lahan, pikul elok-elok dan mandi juga perlahan-lahan, air jangan terlampau sejuk atau terlalu panas.
“Nabi juga pesan, bila sampai di kubur ucap assalamualaikum kepada ahli kubur, padahal semua itu sudah mati. Kerana apa, sebab hormat, kerana kita lalu rumah dia (orang mati),” katanya dalam satu sesi ceramah baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, ahli kubur itu akan menjawab salam tersebut, namun kita tidak mendengarnya.
“Kenapa kita tidak dengar? Kerana Allah S.W.T tidak bagi dengar. Kalau kita dengar akan jadi dua mayat, meninggal orang yang dengar (kerana terkejut mayat jawab salam),”selorohnya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan aksi dua wanita sengaja melangkah sebuah kubur di tapak perkuburan.
Bagaimanapun, pemilik klip video berkenaan tampil membuat pengakuan bahawa kubur berkenaan adalah ‘palsu’ dan hanya dibuat sebagai lakonan sahaja.
Sumber – KOSMO! ONLINE