Empat anggota kastam didakwa makan suap lepaskan lori barang tanpa periksa

Oleh – Syeikh Baran


Empat anggota kastam didakwa makan suap lepaskan lori barang tanpa periksa
Empat anggota Kastam ketika dibawa pegawai SPRM untuk pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Empat anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sebelum ini ditahan menerusi Ops Samba 2.0 didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima suapan antara RM1,200 hingga RM32,300 bagi melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kesemua mereka adalah Rahi Shamudin Ishak, 51, Mat Hafizan Abdullah, 42, Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, Mohd. Sufian Hashim, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.



Pada prosiding tersebut, Rahi Shamudin didakwa 42 pertuduhan rasuah berjumlah RM32,300 manakala Mat Hafizan sebanyak empat pertuduhan berjumlah RM1,200 diikuti Mohd. Sufian dengan dua pertuduhan sebanyak RM1,250 dan Ahmad Shahremy hanya satu pertuduhan rasuah bernilai RM5,000.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka sebagai pembantu penguasa Kastam Gred WK19 telah menerima suapan secara pemindahan dalam talian ke dalam akaun bank masing-masing daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun.

Ini sebagai balasan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat tersebut yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Perbuatan itu dilakukan di cawangan bank yang terletak di KLIA, Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi antara 1 Disember 2017 hingga 24 April 2023.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd. ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd. Hezri Shaharil dan Muhamad Aizat Fakri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM30,000 kepada Rahi Shamudin sementara Mat Hafizan (RM10,000) serta masing-masing RM8,000 untuk Mohd. Sufian dan Ahmad Shahremy bersama seorang penjamin.

Syarat tambahan pula adalah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan laporan polis berhubung kehilangan pasport bagi Rahi Shamudin selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya setiap awal bulan serta tidak mengganggu atau menghubungi saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh ditetapkan pada 11 Julai depan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button