Pasangan kekasih buang bayi di kedai ayam tukar pengakuan

Oleh – Syeikh Baran


Pasangan kekasih buang bayi di kedai ayam tukar pengakuan
Nur Aisyah Azila (kanan) dan Muhammad Alhafiz Mukminin berjalan beriringan selepas sebutan kes membuang bayi di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah mengabaikan bayi lelaki mereka berusia tujuh hari dengan membuangnya di sebuah kedai menjual ayam pada 18 Mei lalu mengubah pengakuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh iaitu Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, yang masih berpantang dan kekasihnya, Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd. Noor, 24, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.



Mereka sebelum ini membuat pengakuan bersalah sewaktu sebutan pertama kes tersebut pada Khamis minggu lalu dengan hukuman sepatutnya dijatuhkan semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Aisyah Azila dan Muhammad Alhafiz Mukminin sebagai individu yang mempunyai penjagaan ke atas bayi berusia tujuh hari tersebut didapati telah mengabaikan mangsa sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dituduh dilakukan kedua-kedua tertuduh di sebuah kedai menjual ayam segar di Jabur Kubur, Jalan Air Putih berhampiran Chukai di sini antara pukul 7 pagi hingga 7.15 pagi pada 18 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh juga telah dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin pada 23 Mei lalu .



Hakim Wan Suhaila kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai depan.

Kosmo! Ahad 19 Mei lalu melaporkan seorang bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram ditemui dalam keadaan kesejukan dibuang di atas lantai sebuah kedai menjual ayam pada pukul 7.30 pagi.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button