Setinggan ‘haram’ Rohingya digempur
Oleh – Syeikh Baran
Penempatan haram setinggan yang didiami majoritinya etnik Rohingya diatas tanah kerajaan digempur pihak berkuasa berhampiran Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke) di Sentul, di sini, awal pagi tadi.
Tanah yang tidak digunakan itu turut memiliki sekitar 20 hingga 30 buah rumah ‘dijajah’ pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak empat tahun lalu.
Tidak hanya dijadikan lokasi tempat tinggal, malah serbuan berjaya membongkarkan lima perusahaan kedai runcit yang mana turut menjual minyak masak paket bersubsidi.
Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan mendapati penduduk di sana turut berani membina reban ternakan haiwan seperti itik dan ayam dipercayai untuk menyara komuniti mereka.
Seorang etnik Rohingya yang dikenali sebagai Amir berkata, beliau membayar sewa sebanyak RM300 untuk sebuah bilik kepada warga tempatan setiap bulan.
“Sudah 10 tahun di Malaysia, sekarang sudah kahwin dan ada tiga orang anak, kerja terpaksa ambil upah cuci pinggan RM50 sehari, dulu ada kerja tukang cuci gaji RM1,000 tapi sudah kena berhenti,” katanya.
Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam dan berakhir sekitar 2.30 pagi dilakukan secara bersepadu dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan dilakukan membabitkan 124 warga asing yang berasal dari Myanmar, Indonesia dan India.
“Daripada jumlah ini, 95 adalah dari Myanmar, termasuk 14 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan bersama ibu mereka, dan kami percaya majoritinya berketurunan Rohingya.
“Ada juga tiga warga Indonesia bersama beberapa lagi belum dikenal pasti (lima orang). Kami juga memeriksa 21 warga India yang baru pulang dari kerja namun mereka mempunyai permit kerja yang sah.” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.
Tambahnya, serbuan mendapati antara kesalahan utama dikesan merupakan tidak mempunyai pasport, pas kerja tamat tempoh serta tinggal lebih masa.
Sehubungan itu, Ruslin menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi lain untuk menangani isu warga asing membanjiri ibu negara.
Sumber – KOSMO! ONLINE