Suspek pecah rumah Khuzaimi guna nombor plat palsu pada Estima
Oleh – Syeikh Baran
Nombor pendaftaran kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Estima digunakan suspek ketika melakukan jenayah pecah rumah pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee, disahkan palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini giat mengesan kesemua suspek terlibat dalam jenayah itu.
“Siasatan masih berjalan dan keterangan tujuh individu telah diambil setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, berlegar di media sosial rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai pergerakan suspek kes samun kediaman pertahanan Selangor FC, Khuzaimi Piee.
Menerusi perkongsian di media sosial itu, suspek dipercayai menggunakan Toyota Estima untuk keluar dari pintu pengawal keselamatan kawasan perumahan berkenaan.
Turut kelihatan, sebuah motosikal jenama Y15ZR berwarna biru yang dipercayai milik Khuzaimi telah dilarikan oleh seorang lelaki keluar dari pekarangan rumahnya diekori rapat oleh kereta putih.
Kemudiannya, terdapat rakaman dari sudut dalam rumah memaparkan seorang individu yang tidak dikenali menyelinap masuk dari pintu rumah Khuzaimi Piee.
Untuk rekod, pertahanan berusia 30 tahun itu juga merupakan pemain bola sepak Selangor yang kedua diganggu oleh individu tidak dikenali.
Sebelum ini, media melaporkan rumah Ahmad Khuzaimi dipecah masuk dan kehilangan beberapa dokumen penting, empat beg pelbagai jenama, passport dan sebuah motosikal.
Rentetan itu, Ahmad Khuzaimi mengakui bimbang keselamatan keluarga kerana beberapa dokumen yang hilang menggunakan alamat rumah keluarganya di kampung.
Sumber – KOSMO! ONLINE.