Tunggang motosikal 80km setiap hari demi suami
Oleh – Syeikh Baran
Demi kasih sayang terhadap suami yang terlantar sakit, seorang suri rumah sanggup berulang-alik menunggang motosikal sejauh 80 kilometer (km)setiap hari dari rumahnya di Kampung Nibong ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sejak lebih sebulan lalu.
Norrisham Samsuddin, 46, berkata, dia perlu menjaga suaminya, Mohd. Azmi Yusoh, 50, yang dirawat di HSNZ akibat penyakit buah pinggang tahap lima.
Pada masa sama, wanita itu turut menguruskan dua anak berusia 10 dan 16 tahun yang masih bersekolah.
“Setiap hari, saya akan menyiapkan makan tengah hari dan malam untuk anak sebelum keluar ke hospital lepas Asar. Biasanya saya bermalam di wad dan pulang ke rumah keesokan pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Norrisham memberitahu, suaminya, Mohd. Azmi disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada 3 Mac lalu. Pada mulanya, lelaki itu menghidap gout dan mahu mendapatkan rawatan sebelum disahkan menghidap penyakit buah pinggang.
“Bagai hendak luruh jantung bila doktor beritahu bengkak pada tangannya itu berpunca daripada kegagalan buah pinggang yang sudah mencapai tahap lima. Pada mulanya suami dirujuk ke Hospital Setiu, namun kesihatannya merosot sehingga perlu ditahan di wad HSNZ bulan lalu,” katanya.
Norrisham berkata, disebabkan penyakit itu suaminya tidak dapat bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di daerah ini.
Norrisham yang turut menghidap penyakit darah tinggi memberitahu, mereka sekeluarga kini mengharapkan belas ihsan keluarga dan jiran untuk membantu demi kelangsungan hidup.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 1150041000176147 atau menghubungi Norrisham di talian 014 -327 8719.
Sumber – KOSMO! ONLINE