Nyawa melayang langgar serpihan tayar lori di lebuh raya

Oleh – Syeikh Baran


Nyawa melayang langgar serpihan tayar lori di lebuh raya
SERPIHAN tayar lori yang dilanggar oleh mangsa dalam nahas di KM190.7 Lebuh Raya Utara – Selatan, awal pagi tadi.

Seorang lelaki maut, manakala empat lagi cedera selepas motosikal yang mereka tunggang melanggar serpihan tayar lori di Kilometer 190.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa, Mohd. Afirzul Hamzah, 35, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.



Empat yang lain, Zakrul Ariffin Minhat, 20, dimasukkan ke zon merah, manakala Muhammad Zarif Zufayri Mazli, 23, patah bahu kanan dan Muhammad Nur Aiman Kamil, 23, serta Ahmad Farhan Fikri Abd. Khalid, 28, mengalami luka-luka dan cedera di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, sebelum kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan berkonvoi bersama 16 penunggang yang lain dari Melaka menuju ke Johor.

“Setiba di lokasi, empat penunggang telah terbabas setelah melanggar serpihan tayar lori yang pecah.

“Akibat kemalangan itu, seorang daripadanya maut, manakala empat lagi cedera dan dikejarkan ke Hospital Jasin menggunakan ambulans,” katanya kepada pemberita hari ini.



Tambahnya, kumpulan itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengadakan program makan di sebuah restoran di Simpang Ampat.

“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati lokasi nahas tidak mempunyai pencahayaan yang cukup.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button