Pegawai, pembantu Kastam didakwa rasuah lepas lori di KLIA

Oleh – Syeikh Baran


Pegawai, pembantu Kastam didakwa rasuah lepas lori di KLIA
Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

Tiga termasuk seorang pegawai Kastam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah keseluruhan RM8,600 bagi melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini.

Pegawai tersebut, Mazuki A. Kadir, 54, dan dua pembantu penguasa Kastam, Ahmad Samirrudin, 38 dan Mohd. Nasrizal, 37 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.



Ini menjadikan keseluruhan anggota dan pegawai kastam yang didakwa setakat ini di Shah Alam adalah seramai 11 orang.

Pada prosiding itu, Mazuki dituduh 10 pertuduhan berjumlah RM2,900; Ahmad Samirrudin dengan 9 pertuduhan bernilai RM4,550 dan Mohd. Nasrizal pula lima pertuduhan suapan berjumlah RM1,150.

Ketiga-tiga mereka didakwa menerima suapan menerusi pemindahan wang dalam talian ke akaun bank masing-masing daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun agar tidak memeriksa lori-lori syarikatnya yang membawa keluar barang dari kargo KLIA, Sepang.

Kesalahan itu dilakukan di tiga cawangan bank sekitar KLIA, KLIA 2 dan Bandar Baru Salak Tinggi antara 25 Januari 2017 hingga 4 April tahun lalu.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd. ‘Afif Ali dan Maziah Mohaide manakala Peguam Muhamad Aizat Fakri mewakili Mohd. Nasrizal dan Mazuki dan Ahmad Samiruddin pula diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 masing-masing kepada Mazuki dan Ahmad Samirrudin selain RM8,000 kepada Mohd. Nasrizal dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes bagi Mohd. Nasrizal dan Mazuki ditetapkan pada 25 Julai depan manakala bagi Ahmad Samiruddin pada 11 Julai depan.

Sumber -KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button