Polis Sweden siasat bangkai babi dibuang luar masjid
Oleh – Syeikh Baran
Polis memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat jenayah kebencian selepas individu tidak dikenali membuang bangkai babi di luar sebuah masjid di selatan Sweden kelmarin, lapor akhbar Alarabiya News.
“Seekor babi telah dibuang di hadapan bangunan masjid.
“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai perasaan kebencian terhadap kumpulan etnik tetapi syak wasangka lain mungkin menyusul kemudian,” kata polis Sweden di laman web rasminya semalam.
Sementara itu, ketua yayasan yang mengendalikan masjid di Skovde itu, Smajo Sahat, mengesahkan bangkai tersebut adalah babi hutan.
“Saya datang pagi tadi (kelmarin) dan nampak ia sudah mati,” kata Sahat.
“Seorang individu datang dengan menaiki sebuah kereta dan melemparkan bangkai ini ke arah masjid. Kami tidak tahu siapa individu itu tetapi dia dirakam oleh kamera pengawasan,” tambahnya.
Sahar turut berkata, tiada ancaman terhadap masjid itu. Masjid tersebut dibuka setahun lalu dan mempunyai kira-kira 1,000 jemaah. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE