Bekas pekerja duduk dalam bilik air berjam-jam saman majikan
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pekerja di bandar Nantong dalam wilayah Jiangsu, tenggara China menyaman bekas majikannya selepas dia diberhentikan kerja kerana menghabiskan masa selama beberapa jam di dalam bilik air pejabat hampir setiap hari.
Portal berita VnExpress semalam melaporkan, sebuah mahkamah di Nantong mendengar kes pertikaian kontrak buruh antara lelaki itu yang dikenali dengan nama pertamanya Liu, dengan bekas syarikatnya.
Menurut artikel di laman web Mahkamah Rakyat Wilayah Jiangsu, Liu telah bekerja di sebuah syarikat litar elektrik di Nantong itu sejak Jun 2015 dengan gaji bulanan sebanyak 10,000 yuan (RM6,499).
Pada Ogos 2023, Liu memfailkan kesnya di timbang tara buruh, menuntut syarikat itu membayar pampasan lebih 200,000 yuan (RM12,999).
Selepas dinafikan pampasan, dia memfailkan saman di Mahkamah Daerah Tongzhou pula.
Plaintif berhujah bahawa waktu rehatnya di tandas adalah kerana keperluan peribadi dan tidak melanggar peraturan syarikat.
Dia mendakwa pemecatan oleh majikannya adalah tidak berasas
Namun, mahkamah memutuskan bahawa penamatan perkhidmatan Liu oleh majikannya adalah sah dan tuntutan pampasan Liu adalah tidak berasas. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE