Wanita warga emas, lelaki Indonesia didakwa ceroboh Hutan Simpan Gunung Benom

Oleh – Syeikh Baran


Wanita warga emas, lelaki Indonesia didakwa ceroboh Hutan Simpan Gunung Benom
Tertuduh pertama Kwai Ying (dua dari kiri) dan tertuduh kedua, Sapwan (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub di Raub hari ini.

Seorang wanita warga emas dan seorang lelaki Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh Hutan simpan Gunung Benom, Mukim Gali di sini.

Tertuduh pertama, Lai Kwai Ying, 67, yang merupakan warga tempatan bersama tertuduh kedua iaitu seorang lelaki warga Indonesia, Sapwan hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed.



Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh pada 30 April lalu kira-kira pukul 2.16 petang didapati memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Hutan Simpan Kompartmen 134 Gunung Benom tanpa memiliki permit memasuki hutan simpan kekal yang sah.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) yang diterima pakai oleh Negeri Pahang di bawah Enakmen Perhutanan Negara (Negeri-negeri Malaysia) (Pemakaian) 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 47(4) Enakmen yang sama dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Collin Andrew.



Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi tertuduh pertama manakala RM15,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bagi tertuduh kedua dengan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Noor Aisah menetapkan 28 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan khidmat jurubahasa Mandarin digunakan bagi Kwai Ying serta jurubahasa Indonesia bagi Sapwan. Kedua-dua tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button