Amerika, Britain bom Yemen

Oleh – Syeikh Baran


Amerika, Britain bom Yemen
GAMBAR pada 12 Januari 2024 menunjukkan sebuah jet pejuang berlepas daripada kapal induk USS Dwight D, Eisenhower semasa operasi mengebom sasaran Houthi. – AFP

Amerika Syarikat(AS) dan Britain melancarkan serangan udara yang menyasarkan  sebilangan lokasi di Yemen dalam percubaan untuk menjejaskan keupayaan pemberontak Houthi menyerang kapal-kapal dagang.

Pemberita AFP mendengar beberapa bunyi letupan kuat di ibu negara, Sanaa dan bandar pelabuhan Hodeida dari kelmarin hingga semalam.



Saluran televisyen dikawal puak Houthi, Al-Masirah melaporkan bahawa serangan itu turut menyasarkan infrastruktur telekomunikasi di bandar Taez.

Menurutnya, ‘sebilangan’ penduduk terbunuh atau cedera dalam siri serangan itu.

Markas Pusat Perintah Amerika Syarikat(CENTCOM) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa secara keseluruhan, sebanyak 13 lokasi militia Houthi telah diserang.

“Serangan ini perlu bagi melindungi pasukan tentera kami, memastikan kebebasan belayar dan menjadikan perairan antarabangsa lebih selamat,” kata CENTCOM.



Sejak Januari lalu, Amerika Syarikat(AS) dan Britain berulang kali melancarkan serangan terhadap sasaran Houthi di Yemen sebagai membalas serangan kumpulan pemberontak itu di Laut Merah dan Teluk Aden.

Bagaimanapun, gelombang serangan Barat  gagal melemahkan puak Houthi yang bersumpah akan menyasarkan kapal milik AS dan Britain di samping semua kapal  menuju ke pelabuhan Israel. – AFP 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button