Hannah Delisha Masih Trauma Kenang Perasaan Suami Tercinta
“Doktor Sahkan Jantung Bayi Berhenti Berdegup…”
Hannah Delisha Masih Trauma Kenang Perasaan Suami Tercinta
Tanggal 17 Mac 2024 menjadi detik paling sukar dilupakan buat aktres jelita, Hannah Delisha. Pada hari itu, beliau dikejutkan dengan khabar duka apabila bayi dalam kandungannya yang mencecah usia 13 minggu disahkan doktor tidak lagi bernyawa.
Wanita mana yang tidak bersedih mahupun terkesan daripada segi emosi apabila menerima perkhabaran sedemikian, namun Hannah terpaksa menerima kenyataan bahawa hasratnya untuk menyandang gelaran ibu masih belum kesampaian.
Mengakui dirinya memerlukan masa lama untuk menelan segala kepahitan takdir, pelakon kelahiran Singapura ini tidak putus berharap dan terus menanam benih harapan untuk hidup dalam keluarga yang lengkap bersama suami tercinta, Imam Shah.
Seiring dengan berjalannya waktu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch mula menerima bahawa ketentuan takdir Yang Maha Esa adalah yang terbaik dan percaya detik kebahagiaannya pasti menjelma suatu hari nanti.
Berkat sokongan keluarga dan suami, Hannah berjaya mengharungi fasa terendah dalam hidupnya dan kini sudah berlapang dada dengan menganggap ujian yang dikirim Tuhan adalah untuk menjadikan dirinya wanita yang lebih kuat.
“Sejujurnya, fasa bersedih mengenai keguguran itu sudah habis dan sekarang saya semakin baik mungkin selepas mendapatkan rehat yang cukup. Saya juga mempunyai rakan-rakan sekeliling yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat,” katanya.
Hannah berkata, dia enggan menaruh harapan tinggi untuk menimang cahaya mata dan menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan.
Namun, dia akan lebih berhati-hati termasuk menguruskan kerja dengan bijak dan merancang rutin harian dengan baik.
“Soal anak, sekarang saya tak tahu dan tak boleh beri apa-apa jaminan. Saya tak halang, malah tak merancang juga. Tapi, insya-Allah sekiranya diizinkan, saya akan ambil masa untuk berehat sekurang-kurangnya pada trimester pertama.
“Selepas apa yang terjadi, saya mahu lebih berhati-hati terutama pada fasa awal kehamilan iaitu trimester pertama. Bila saya ingat kembali, apa yang terjadi juga mungkin disebabkan saya terlalu sibuk dengan kerja,” jelasnya.
Penyanyi “Esok Masih Ada” ini berkata, dia optimis dengan kejadian yang menimpanya dan merasakan orang lain juga pernah berdepan dengan ujian sama. Hannah tidak menyangka, apa yang dilalui watak Batrisya dalam drama “Lelaki Itu” turut dihadapinya dalam kehidupan nyata.
“Saya alami keguguran selepas drama habis. Tapi, saya pun tidak sangka akan lalui perkara sama seperti Batrisya iaitu kehilangan anak. Cuma, bezanya saya keguguran, manakala Batrisya pula terpaksa lakukan keguguran,” katanya.
Sebelum ini, Hannah berkongsi khabar duka dirinya keguguran melalui ciapan di pelantar X, selain menjelaskan pemberitahuan itu dibuat kerana mahu berkongsi perasaan dengan wanita yang mengalami nasib sama dengannya.
Dia bersedih bukan kerana tidak boleh menerima ketentuan takdir, sebaliknya trauma mengenangkan perasaannya dan suami ketika menerima berita duka itu.
“Bayangkan, kali pertama nampak bayi pada mesin imbasan tentulah rasa sangat teruja. Namun, tidak sampai beberapa minit, wajah doktor berubah.
“Beberapa kali doktor buat semakan. Kemudian, beliau panggil seorang lagi doktor untuk mendapatkan kepastian. Akhirnya, mereka sahkan jantung bayi berhenti berdegup pada usia kandungan lapan minggu. Bayangkan, bagaimana perasaan saya ketika itu?,” katanya.
Untuk rekod, Hannah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura, Imam Shah, pada 18 Februari 2021.
Pada 2017, Hannah berhijrah ke Malaysia untuk mengembangkan bakat sebelum mencipta nama menerusi drama adaptasi novel, “Mencintaimu Mr Photographer” bersama aktor Syafiq Kyle.
Kini, dengan segala ujian dan cabaran yang dihadapi, Hannah terus tabah melangkah ke hadapan dengan semangat yang tidak pernah pudar.
Hannah Delisha Masih Trauma Kenang Perasaan Suami Tercinta
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Apakah Mahkamah Akan Menolak Kesaksian Zeti?
- Kenyataan dua saksi melemahkan kes dan tuduhan terhadap Najib dalam keraguan