Trump didapati bersalah 34 pertuduhan

Oleh – Syeikh Baran


Trump didapati bersalah 34 pertuduhan
TRUMP dan peguamnya meninggalkan sebuah mahkamah di New York semalam. – AFP

Seramai 12 anggota sebuah panel juri di New York semalam sepakat dalam keputusan mereka bahawa Donald Trump bersalah terhadap semua pertuduhan yang beliau hadapi.

Bilionair Parti Republikan itu didapati bersalah atas 34 pertuduhan dan kini tidak pasti sama ada beliau akan menghabiskan masa dalam tahun 2025 di White House atau di dalam penjara atau di bawah tempoh pengawasan.



Trump yang meningkat usia 78 tahun Jun ini,  merupakan bekas presiden Amerika Syarikat pertama yang mendapat gelaran penjenayah dan penjenayah pertama menjadi calon sebuah parti politik utama, Parti Republikan.

Perkembangan itu memberikan ‘peluru’ kepada seterunya, Parti Demokrat untuk menyerang Republikan ketika pertembungan kedua beliau dengan Presiden Joe Biden semakin menjelang.

Trump didapati bersalah memalsukan rekod bayaran rahsia kepada aktres filem dewasa, Stormy Daniels sebelum pilihan raya 2016 diadakan. Bayaran itu dibuat bagi menutup mulut Daniels mengenai hubungan sulit mereka.

Di sebalik perkembangan itu, keputusan tinjauan pendapat mendapati sokongan kepada Trump kekal tinggi dan beliau bersaing sengit dengan Biden. Malah, Trump mendahului Biden di kebanyakan negeri utama di AS.



Hukuman terhadap bilionair itu akan diputuskan pada 11 Julai ini. – AFP 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button