Sindiket antarabangsa tumpas, Polis Johor rampas hampir 200kg dadah

Sindiket antarabangsa tumpas, Polis Johor rampas hampir 200kg dadah

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran antarabangsa dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 198.54 kilogram (kg) dalam tujuh serbuan serentak di sini pada Rabu lalu.

Dalam serbuan bermula jam 3.40 petang sehingga 8.30 malam itu, seramai 14 individu berjaya ditahan membabitkan 12 warga asing dan dua warga tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata rampasan dadah bernilai RM11.6 juta itu adalah rampasan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor tahun ini.



Katanya, dadah berkenaan boleh digunakan kira-kira 1.24 juta penagih dadah.

Beliau berkata, JSJN Johor telah melancarkan tujuh serbuan serentak di kondominium mewah dan kediaman komuniti berpagar dan berpengawal di sekitar bandaraya ini, Iskandar Puteri dan Seri Alam, pada Rabu lalu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Yang Pasti UMNO Tidak Akan Terima Kembali Annuar Musa




“Dalam operasi ini, 14 suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan; enam lelaki dan enam wanita warga asing berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan, termasuk dalang utama yang berusia 49 tahun.

“Lima suspek warga asing yang ditahan turut berada dalam senarai dikehendaki di negara asal dengan rekod lampau membabitkan kes dadah, jenayah dan imigresen manakala seorang warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua suspek ditahan dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah membabitkan serbuk dan pil ekstasi, syabu, ketamin, pil Eramin 5, serbuk MDMA selain bahan kimia untuk memproses dadah.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa kondominium mewah dan kediaman komuniti berpagar dan berpengawal untuk dijadikan sebagai makmal mini bagi memproses dan membungkus dadah sebelum diedarkan ke pasaran negara jiran,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Terdahulu, Kok Chin turut menunjukkan rampasan alat memproses dan pembungkusan dadah selain bungkusan termasuk jus minuman, vape serta pelbagai pil tahan sakit yang dipercayai mengandungi dadah.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, polis turut merampas dan menyita pelbagai harta benda bernilai RM1.17 juta dalam serbuan itu.



Katanya, antaranya membabitkan lima kenderaan mewah, 11 jam tangan mewah termasuk Rolex, wang tunai berjumlah RM204,069, wang Singapura berjumlah $22,970 dan pelbagai barangan kemas.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan sudah beroperasi sejak Januari lalu.

“Kesemua 14 suspek kini direman tujuh hari bermula Khamis lalu hingga Rabu ini bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Kok Chin menunjukkan maklumat mengenai sindiket dadah yang ditumpaskan Polis Johor



Sindiket antarabangsa tumpas, Polis Johor rampas hampir 200kg dadah

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Pembohongan Zeti Terbongkar Di Mahkamah

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button