Ejen insurans lesap RM300,000 terjebak sindiket pekerjaan

Oleh – Syeikh Baran


Ejen insurans lesap RM300,000 terjebak sindiket pekerjaan
Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz

Hasrat seorang ejen insurans mencari pendapatan sampingan musnah apabila kerugian hampir RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket menawarkan pekerjaan tidak wujud.

Mangsa wanita berusia 42 tahun mendakwa ditipu individu yang mana dia mampu meraih pendapatan berganda dalam tempoh singkat.



Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pengadu berurusan dengan individu terbabit sebelum diminta membuka akaun dalam aplikasi yang diberikan kepadanya.

Beliau berkata, pada masa individu terbabit meminta mangsa menghantar tangkap layar kepadanya sebagai bukti kerja terbabit dilakukan.

“Disebabkan itulah mangsa membuat transaksi berjumlah RM283,225 ke dalam dua akaun yang didaftarkan atas nama syarikat berlainan.

“Tujuannya ialah membolehkan mangsa mengeluarkan keuntungan seperti dijanjikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.



Raiz Mukhliz berkata, mangsa mula syak apabila diminta membuat bayaran lagi dan tidak mengendahkan permintaan individu terbabit.

Katanya lagi, mangsa mula berasa tertipu lalu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Sehingga laporan polis ini dibuat, mangsa belum menerima apa-apa keuntungan terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.



“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengikuti nasihat dan peringatan melalui media sosial bagi mendapat maklumat modus operandi sindiket penipuan seperti ini.” katanya.

Katanya, jika menjadi mangsa penipuan, individu perlu menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ditalian 997 sebagai tindakan awal menyekat pengaliran daripada akaun suspek.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button