Kereta terbakar tiba-tiba, wanita bersama anak selamat
Oleh – Syeikh Baran
Seorang wanita bersama anak lelakinya berdepan detik cemas apabila kereta Viva dinaiki tiba-tiba berasap sebelum terbakar ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bandar Seri Putra, hari ini.
Kejadian jam 7.20 pagi itu menyebabkan kereta berkenaan musnah sepenuhnya.
Syazwana Ahmad Sabri Parwira, 36, berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkannya terkejut dan panik.
“Kejadian berlaku ketika ingin menghantar anak berusia lapan tahun ke sekolah agama di Bandar Seri Putra.
“Ketika berhenti di lampu isyarat, saya terhidu bau hangit. Tetapi tidak syak apa-apa lagi dan buat biasa saja.
“Kira-kira seminit selepas itu, keluar asap, semakin lama asap makin banyak. Saya terus matikan enjin… tidak berapa lama kemudian api mula keluar menyebabkan saya terus membawa anak keluar dari kereta.
“Memang terkejut, menggeletar dan panik sangat. Dalam hati masih berharap janganlah kereta terbakar teruk.
“Kebetulan ada seorang kakak pinjamkan mini pemadam api, tapi tak boleh padam sebab api marak terlalu cepat. Terpaksa juga tunggu bomba tiba. Namun, kereta sudah hangus terbakar,” katanya kepada Harian Metro, malam ini.
Menurutnya, dia menangis melihat kereta yang dibeli sejak tiga tahun lalu itu musnah di depan mata.
“Risau sebenarnya jika kereta meletup, sebab saya baru isi minyak penuh. Cuma, berlaku letupan kecil pada cermin dan tayar.
“Diakui, sayu hati tengok kereta terbakar. Saya menangis juga. Bukan apa, kereta ini dibeli untuk memudahkan urusan harian menghantar dan mengambil anak sekolah.
“Ke hulu ke hilir pakai kereta itu. Memang banyak berjasa. Kalau tanya saya apa punca, memang tak tahu. Sebab ini pertama kali terjadi. Bomba suspek ia berpunca dari enjin dan masalah pendawaian,” katanya.
Pada masa sama, dia bersyukur kerana tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku.
“Insya-Allah, saya dan suami reda. Allah uji tanda Allah sayang. Semoga ada rezeki lain yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Putra dan Balai Polis Trafik Kajang, Selangor.
Sumber – HARIAN METRO