Pemuda maut sehari sebelum majlis perkahwinan kakak
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pemuda maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh bahagian belakang sebuah bas di Jalan Satu Krubong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X dalam perjalanan dari arah Krubong Perdana menghala ke Tangga Batu.
“Setiba di lokasi, sebuah bas henti-henti tiba-tiba memperlahankan kenderaan untuk berhenti di bahu jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, nahas itu hanya disedari oleh pemandu bas setelah mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang.
“Apabila pemandu bas berhenti, dia lihat mangsa telah terbaring di atas jalan raya.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, satu klip video berkaitan nahas itu tular di Facebook memaparkan orang ramai memarahi tindakan pemandu bas terbabit yang berhenti di lokasi tidak sepatutnya.
Di ruangan komen beberapa pengguna turut memberitahu mangsa sepatutnya meraikan majlis perkahwinan kakaknya esok.
Sumber – KOSMO! ONLINE