Adik tetak abang berang enggan pinjamkan motosikal
Oleh – Syeikh Baran
Seorang peniaga parah selepas ditetak adik kandung hanya kerana enggan meminjamkan motosikalnya dalam kejadian di Kampung Nelayan Kuala Linggi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 33 tahun putus urat di tangan kiri sehingga menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sebelum ditetak, mangsa sempat ke kaunter aduan Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan daripada anggota polis.
Katanya, mangsa mendakwa adiknya yang bernama Tuah berusia 27 tahun mengamuk di rumah dan memukulnya dengan menggunakan sebatang kayu selain merosakkan bahagian hadapan motosikalnya.
“Mangsa memberitahu dia memerlukan bantuan pihak polis untuk pergi ke rumahnya dan berjumpa dengan adik lelakinya.
“Anggota cegah jenayah dengan bantuan Rela menemani mangsa ke rumahnya untuk menahan suspek, namun lelaki itu bertindak agresif apabila menyerang abangnya dengan parang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja bertindak agresif kerana berang mangsa enggan meminjamkan motosikal kepadanya.
Ashari berkata, pemuda itu bagaimanapun berjaya diberkas dan ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
“Parang sepanjang 45 sentimeter yang digunakan lelaki itu turut dirampas. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Mangsa pula berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan doktor Hospital Melaka,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE