Hapuskan semua aktiviti judi di negeri, daerah – Razarudin

Oleh – Syeikh Baran


Hapuskan semua aktiviti judi di negeri, daerah – Razarudin
Gambar Hiasan

“Saya nak semua kontinjen dan daerah hapuskan judi, (secara) total enforcement (penguatkuasaan menyeluruh).”

Demikian amanat Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis (PJP), Ketua Polis (KP), Komander dan Komandan Bilangan 1 Tahun 2024 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.



Beliau mengarahkan semua pucuk pimpinan di peringkat negeri dan daerah melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh bagi membendung aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.

“Penguatkuasaan ini termasuk melipat ganda usaha memburu mereka yang terbabit dalam pelaburan tidak wujud.

“Ia bagi menjelaskan kepada masyarakat bahawa PDRM sentiasa mengambil perhatian serius dan tindakan sewajarnya dalam menangani isu sebegini,” kata beliau.

Persidangan itu membentangkan gerak kerja dan strategi penugasan serta hal ehwal pengurusan dalam PDRM bagi memantapkan mutu perkhidmatan pasukan keselanatan itu kepada masyarakat.



Razarudin turut mengingatkan pucuk pimpinan agar memberi perhatian khusus terhadap isu integriti dan tata kelola dalam aspek penyeliaan.

“PDRM tidak akan melindungi atau menyembunyikan sebarang bentuk kesalahan, salah laku, rasuah, mahu pun pelanggaran disiplin dalam kalangan warga pasukan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana warga pasukan yang terlibat dengan kesalahan,” tegas beliau.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Persatuan Keluarga Polis Malaysia kali Ke-52 Tahun 2024 dan penyerahan tafsir al-Quran yang disumbangkan oleh Kedutaan Arab Saudi pada 5 Februari lalu.



Turut hadir Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad dan Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Pahlawan Shazeli Kahar.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button