Ibu bapa Zayn Rayyan sambung reman enam hari lagi
Oleh – Syeikh Baran
Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, disambung lagi selama enam hari.
Perkara itu dimaklumkan peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili pasangan itu ketika ditemui selepas prosiding di sini sebentar tadi.
Menurut peguam itu, perintah reman baharu tersebut dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal dan akan tamat pada Rabu.
Terdahulu pasangan itu dibawa ke mahkamah pukul 9.30 pagi. Hari ini merupakan tamat tempoh reman tujuh hari terhadap pasangan itu selepas mereka ditahan pada Jumaat minggu lalu.
Sebelum ini pasangan itu ditahan dan direman tujuh hari hingga 7 Jun ini di Mahkamah Petaling Jaya bagi membantu siasatan pembunuhan kanak-kanak autistik itu.
Kedua-dua pasangan berusia 28 tahun itu direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sebelum itu mereka ditahan di sekitar Puncak Alam.
Pada 7 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Sumber – KOSMO! ONLINE