Kapal kargo Indonesia ditahan bawa bijih timah tanpa kebenaran
Oleh – Syeikh Baran
Sebuah kapal kargo Indonesia yang membawa barang berduti tanpa kebenaran pihak berkuasa disyaki serbuk bijih timah tin ore ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing di Jeti Pendaratan Ikan Sungai, Endau semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot ronda Maritim Malaysia semasa melakukan Op Jaksa dan Op Tiris di kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika timur Tanjung Kempit sekitar pukul 5 petang semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan, kapal kargo tersebut dilaporkan dari Tanjung Pinang Indonesia membawa muatan kira-kira 20,040 kilogram serbuk bijih timah untuk dihantar ke jeti di Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal tersebut tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengangkut barang berduti.
“Nakhoda bersama lima kru kesemuanya merupakan warga Indonesia berumur lingkungan 22 hingga 46 tahun ditahan dan dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE