‘Saya harap dapat semula kereta untuk cari makan’

Oleh – Syeikh Baran


‘Saya harap dapat semula kereta untuk cari makan’
SUPHACHAI Awaekuechi (kiri) dijatuhi hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.

Seorang lelaki warga Thailand sebak ketika membuat rayuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 170 liter minyak petrol yang merupakan barang kawalan tanpa lesen pada April lalu.

Tertuduh, Suphachai Awaekuechi, 41, yang mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Rohaida Ishak gagal menahan sebak ketika memohon supaya kenderaannya yang disita dikembalikan semula kepadanya.



“Saya minta maaf dan merayu dikenakan hukuman denda. Saya ada tanggungjawab mencari nafkah untuk anak dan isteri. Saya sanggup membayar denda untuk membebaskan diri daripada kesalahan.

“Saya juga berharap dapat semula kereta untuk ‘cari makan’ kerana kenderaan itu digunakan sebagai teksi di sempadan,” katanya.

Terdahulu, Suphachai mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 120 liter petrol dalam 10 tong dan 50 liter petrol dalam tangki utama kenderaan nombor pendaftaran Thailand.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil mencadangkan tertuduh supaya dikenakan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam dan isu yang menyebabkan penyelewengan petrol bersubsidi kepada rakyat negara ini.



Menurut beliau, jika mahkamah mahu mengenakan hukuman denda, pihaknya memohon tertuduh didenda sekurang-kurangnya RM8,000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar denda selain kenderaan tertuduh dan wang hasil jualan petrol dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Rohaida menjatuhkan hukuman denda RM20,0000 kepada tertuduh atau berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mahkamah juga memerintah agar kenderaan tertuduh dan wang RM289 hasil jualan petrol dilucut hak kepada kerajaan. Tertuduh membayar denda tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button