Bimbang video lucah tersebar, pesara rugi RM44,500

Oleh – Syeikh Baran


Bimbang video lucah tersebar, pesara rugi RM44,500
Gambar Hiasan

Seorang pesara kerugian RM44,500 selepas diugut oleh seorang kenalan media sosialnya dari negara jiran untuk berbuat demikian jika tidak mahu video lucahnya disebarkan kepada umum.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu lelaki berusia 61 tahun telah berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi Facebook Messenger.



Katanya, suspek kemudian meminta nombor telefon mangsa dan mula menghubungi mangsa melalui WhatsApp untuk mengajaknya berbual namun tidak diendahkan mangsa.

“Pada Isnin lalu (3 Jun) kira-kira pukul 4.30 petang, selepas mangsa menghantar anaknya balik ke asrama, mangsa yang sedang memandu kereta telah menerima panggilan video daripada suspek.

“Mangsa telah menjawab panggilan suspek dan mendapati suspek dalam keadaan tidak berpakaian meminta mangsa turut membuka pakaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada 4 Jun, kira-kira pukul 9 pagi, mangsa menerima video yang sama daripada suspek dan suspek meminta bayaran sebanyak 15 juta rupiah untuk memadamkan video tersebut, jika tidak ia akan disebarkan kepada keluarga dan kenalan.



“Mangsa cuba berunding dan suspek meminta pengadu buat pembayaran wang sebanyak RM2,000 dengan membuat kiriman wang di kaunter pengiriman wang ke satu nombor akaun dan menghantar gambar resit kiriman sebagai bukti. Bagaimanapun, pada 5 Jun hingga 7 Jun, mangsa masih menerima ugutan untuk disebarkan video bogel daripada suspek.

“Menurutnya, mangsa kemudian membuat lima transaksi ke tiga nombor akaun berlainan berjumlah RM42,500 melalui kiriman wang di kaunter kiriman wang di Pekan Bahau,” ujarnya.

Bagaimanapun, mangsa masih menerima ugutan supaya memasukkan wang sebanyak RM58,500 ke nombor akaun lain untuk sebelum mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol, tengah hari semalam.

Sumber  – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button