Pendapatan boleh agih KWSP meningkat kepada RM19.2 bilion

Pendapatan boleh agih KWSP meningkat kepada RM19.2 bilion

Pendapatan boleh agih KWSP meningkat kepada RM19.2 bilion
Tinjauan di KWSP Jalan Raja Laut.

Kuala Lumpur: Jumlah pendapatan boleh agih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, naik 33.1 peratus kepada RM19.2 bilion daripada RM14.42 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan boleh agih itu tidak termasuk keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan, kata dana persaraan itu dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn berkata walaupun prestasi suku pertama kukuh, pasaran kewangan terus berdepan beberapa risiko meluas seperti kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama, risiko geopolitik dan konflik serta perubahan dasar berikutan pilihan raya di beberapa negara ekonomi besar pada tahun ini.



“Prestasi pasaran global pada suku pertama 2024 didorong oleh pertumbuhan global yang berdaya tahan, terutamanya bagi ekonomi maju. Indeks FBM KLCI meningkat 10 peratus setakat tahun ini, mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap pertumbuhan dan kesan pelbagai dasar baharu ke atas ekonomi dan industri.

“Di peringkat antarabangsa, ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus berkembang, seterusnya menurunkan jangkaan pengurangan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada tahun ini.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Muslihat Mahathir – Laporan RCI FOREX RM30 bilion diperap, Tapi mahu RCI Batu Puteh di buka kepada Umum




Indeks saham utama yang telah mempamerkan rali kenaikan kukuh pada suku pertama pula didorong oleh lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi,” katanya.

Pada suku di bawah kajian, pendapatan ekuiti meningkat kepada RM13.15 bilion berbanding RM8.69 bilion pada suku pertama 2023 dan kelas aset itu juga kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 68 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih.

Peningkatan pendapatan ini, kata beliau, disumbangkan oleh strategi proaktif pengurus dana untuk memanfaatkan rali kenaikan pasaran dalam merealisasikan keuntungan modal sebelum berlakunya persekitaran tidak menentu yang dijangkakan pada suku akan datang.



“Instrumen pendapatan tetap terus menjadi tunjang kepada KWSP, memberi aliran pendapatan yang stabil dan mengurangkan impak daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek. Kelas aset ini, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) menyumbang 27 peratus atau RM5.14 bilion kepada pendapatan boleh agih bagi suku pertama 2024.

“Hartanah dan infrastruktur mencatat pendapatan sebanyak RM0.22 bilion pada suku pertama 2024 manakala instrumen pasaran wang menjana RM0.69 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini,” katanya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Menunggang Agama Bukan Jaminan Kejayaan Politik




Dalam pada itu, setakat Mac 2024, keseluruhan aset pelaburan dana persaraan itu meningkat kepada RM1.19 trilion dengan 38 peratus daripadanya disumbangkan oleh pelaburan luar negara.

“Pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus melebihi jangkauan dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion atau 51 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Selain itu, pelaburan domestik KWSP pula menyumbang 62 peratus daripada jumlah aset yang sebahagian besarnya dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap, seterusnya memberi kestabilan pendapatan jangka panjang melalui faedah dan keuntungan.



“KWSP kekal komited dalam menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

“Sebanyak RM16.56 bilion daripada RM19.20 bilion pendapatan boleh agih dijana untuk Simpanan Konvensional manakala RM2.64 bilion untuk Simpanan Syariah.”

Ahmad Zulqarnain turut berkongsi jangkaan optimistik KWSP terhadap ekonomi domestik yang telah memulakan tahun 2024 di atas landasan kukuh dan telah mencatat pertumbuhan pesat pada 4.2 peratus bagi suku pertama 2024.

Pasaran buruh negara juga kekal berdaya tahan dengan pekerjaan dan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat manakala Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dan pemulihan eksport, kata beliau.



“Pertumbuhan global tahun ini dijangka lebih positif. Bagaimanapun, risiko kekal tinggi berikutan ketidaktentuan daripada kesan pengetatan dasar monetari terhadap pertumbuhan dan kestabilan pasaran kewangan, krisis pasaran hartanah China, serta ketegangan geopolitik yang boleh mendorong harga komoditi lebih tinggi dan mengancam pertumbuhan ekonomi global.

“KWSP akan terus mengukuhkan strategi pengurusan risikonya, terutama dalam mengenal pasti dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan perdagangan antarabangsa dan pergerakan geopolitik dunia.

“Selain itu, KWSP akan turut memantau rapat keputusan pilihan raya Presiden AS yang dijangka akan mempengaruhi sentimen dan pergerakan pasaran global,” katanya.

 

Pendapatan boleh agih KWSP meningkat kepada RM19.2 bilion

 

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Muhyiddin Jangan Hipokrit Dalam Isu Subsidi Bersasar

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button