Juruteknik langgar polis dijel dua tahun empat bulan, denda RM4,000
Oleh – Syeikh Baran
Seorang juruteknik pendingin hawa yang melanggar anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dihukum penjara selama dua tahun empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki motosikal curi, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Fikhri Amar @ Omar, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri motosikal jenis Honda Wave di Kampung Telaga Batu, dalam mukim Limbong, di sini pada pukul 2.20 pagi, 6 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Tertuduh turut didenda masing-masing RM1,000 dan RM3,000 selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan anggota polis serta menghalang penjawat awam bertugas di jalan mini tar Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pukul 3 pagi, hari yang sama.
Sumber – KOSMO! ONLINE