Lelaki disyaki bunuh isteri depan anak direman tujuh hari

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki disyaki bunuh isteri depan anak direman tujuh hari
Lelaki berusia 56 tahun yang disyaki membunuh isterinya menggunakan besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Simee semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Lelaki yang disyaki membunuh isterinya menggunakan besi dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Simee semalam, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini.



Permohonan reman ke atas lelaki berusia 56 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dijalankan terhadapnya.

Terdahulu, lelaki yang berpakaian kemeja-T putih dan berseluar trek kelabu itu tiba di mahkamah pada pukul 11.10 pagi dengan diiringi anggota polis sebelum dibawa keluar 20 minit kemudian.

Semalam media melaporkan, seorang wanita ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di kawasan garaj rumahnya.

Pemeriksaan pada tubuh mangsa berusia 48 tahun itu mendapati terdapat tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.



Difahamkan, kejadian berlaku sekitar pukul 8.30 pagi apabila mangsa dikatakan bertengkar dengan suaminya sebelum lelaki itu bertindak di luar kawalan dengan memukul wanita itu di kepala dan menikamnya.

Lebih menyedihkan lagi kejadian itu disaksikan sendiri oleh anak perempuan pasangan berkenaan berusia 12 tahun.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button