Pemandu Honda City berlagak samseng didenda RM1,000

 

Oleh – Syeikh Baran


Pemandu Honda City berlagak samseng didenda RM1,000
Tangkap layar rakaman video pertelingkahan antara seorang pemandu kereta dan seorang pemandu van di Kulai, Johor baru-baru ini

Kelakuan samseng seorang pemandu Honda City menumbuk pemandu sebuah van berusia 34 tahun di Jalan Persiaran Sri Putri Utama di sini menerima padah apabila didenda RM1,000 oleh Mahkamah Kulai di sini hari ini.



Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 33 tahun itu dijatuhi hukuman itu setelah dia membuat pengakuan bersalah bagi kesalahan yang dilakukan dalam kejadian pukul 2.42 petang pada Ahad lalu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada semasa pengadu sedang memandu sebuah van di Jalan Persiaran Sri Putri Utama, Kulai telah dihalang sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu tertuduh.

“Tertuduh kemudiannya mendekati mangsa lalu telah bertindak memukul bahagian muka pengadu dengan menggunakan tangan hingga menyebabkan kecederaan di bahagian bibir serta bengkak di bahagian pipi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 3 minit 27 saat memaparkan seorang pemandu Honda City warna hitam bersama seorang wanita keluar di tengah jalan dan menuju ke arah sebuah van di belakang kereta terbabit sebelum lelaki berkenaan bertindak memukul pemandu van tersebut.



Seng Lee berkata, hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan perselisihan faham setelah mangsa yang keluar simpang di Taman Gunung Pulai hampir bertembung dengan kereta dipandu tertuduh.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button