Pengusaha lori tipper rayu diberi diesel bersubsidi

Oleh – Syeikh Baran


Pengusaha lori tipper rayu diberi diesel bersubsidi
Leep Chye (duduk dua dari kanan) menunjukkan surat yang dihantar pihaknya kepada KPDN pada 30 Oktober tahun lalu.

Kira-kira 5,500 pengusaha lori tipper merayu supaya mereka turut dikategorikan sebagai layak untuk memohon diesel bersubsidi susulan kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter bermula 10 Jun lalu.

Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia, Datuk Micheal Loo Leep Chye berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana mereka juga terlibat dalam industri penting.



Dakwa beliau, kenaikan harga harga diesel tersebut dianggarkan telah meningkatkan kos yang perlu ditangggung oleh para pengusaha lori tipper sehingga 30 peratus.

“Lori layak mohon subsidi diesel adalah yang terlibat dalam keperluan asas maksudnya makanan dan tempat tinggal. Lori tipper khusus untuk mengangkut tanah, pasir dan batu.

“Tempat tinggal perlu dibina dengan pasir dan batu. Bagaimana lori tipper yang penting untuk pembangunan ini boleh dikecualikan. Tanpa lori ini, tiada bahan binaan boleh dihantar sampai ke tapak pembinaan dan banyak projek akan tergendala,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Kementerian Pengangkutan (MoT) sebelum ini memaklumkan, syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan Kementerian Kewangan (MoF).



Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung antaranya kenderaan jenis Lori Rigid – Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid – Tangki Tepung, Lori Rigid – Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid – Tangki Air dan Panel Van.

Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan adalah Lori Rigid – Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid – Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Semi – Panel Van.

Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid – Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah

Mengulas lanjut hal tersebut, Leep Chye berkata, beliau bimbang sekiranya pengusaha lori tipper terus tidak layak memohon diesel bersubsidi akan menyebabkan ramai dalam kalangan mereka gulung tikar.



Tambah beliau, keadaan itu sekiranya berlaku akan turut memberi kesan kepada kira-kira 55,000 pemandu lori tipper yang bekerja dengan para pengusaha lori tipper ketika ini.

Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan jika pengusaha lori tipper bertindak menaikkan caj perkhidmatan akan mengakibatkan kenaikan kepada kos pembinaan.

“Kalau tidak beri subsidi (diesel), saya jangka industri ini (perkhidmatan lori tipper) akan tidak sengaja terpaksa menaikkan caj juga.

“Sekiranya ini berlaku, pemaju tentu akan naikkan harga rumah mereka dan akhirnya pembeli rumah yang akan menerima tempias akibat peningkatan harga diesel ini,” katanya.



Dalam pada itu, beliau membangkitkan tentang dilema dihadapi pengusaha lori tipper yang telah menandatangani perjanjian dengan pihak pemaju.

“Caj perkhidmatan telah ditetapkan berdasarkan kos sebelum kenaikan harga diesel. Kini mereka hadapi dilema. Jalan ‘mati’, tak jalan pun boleh ‘mati’ sebab kena saman,” katanya.

Kata beliau, pihaknya pernah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung perkara itu pada 30 Oktober lalu, tetapi tiada jawapan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button