Wanita menangis akhirnya dapat karipap penjara

Oleh – Syeikh Baran


Wanita menangis akhirnya dapat karipap penjara
Tangkap layar hantaran @Ashfazieraa di laman TikToknya.

Setelah mengidam hampir tiga hari, seorang wanita menangis kegembiraan setelah berjaya membeli karipap kambing buatan tangan banduan di Penjara Kajang.

Menurut hantaran @Ashfazieraa di laman TikTok, dia sudah lama mengidam untuk makan karipap kambing tersebut dan sanggup mengajak suaminya ke Penjara Kajang selama tiga hari berturut-turut untuk mendapatkannya.



“Hari pertama, saya pergi ke Penjara Kajang sekitar pukul 4 petang. Tetapi, pegawai di pintu pagar cakap Prismart sudah tutup.

“Esoknya, saya datang lagi pada pukul 12 tengah hari. Namun, saya kecewa kerana bukan karipap kambing sahaja yang habis, tetapi hampir semua karipap licin dijual,” katanya.

Menurut @Ashfazieraa, dia datang kembali ke Penjara Kajang keesokan harinya dengan harapan dapat membeli karipap kambing seperti yang diinginkan.

“Hari ketiga, saya datang lebih awal. Pukul 8.50 pagi sudah sampai. Tetapi, karipap pula belum sampai. Jadi, saya tunggu di cafe penjara untuk sarapan.



“Saya tunggu hampir tiga jam sampaikan ada pegawai datang tanya suami adakah saya datang untuk melawat saudara-mara. Suami saya jawab, kami datang untuk beli karipap kambing,” katanya.

Rupa-rupanya, menurut pegawai tersebut, karipap kambing di Penjara Kajang selalu habis dijual kerana mendapat permintaan ramai.

“Kemudian, pegawai tersebut bawa kami berjumpa seorang sarjan yang dapat membantu.

“Menurut sarjan tersebut, kalau kami tidak berjumpa dengan dia, mungkin sampai bila-bila kami tidak akan dapat beli karipap kambing tersebut,” jelasnya.



Kata @Ashfazieraa, pesanan untuk karipap kambing itu terlalu tinggi sehinggakan pembeli terpaksa tunggu giliran masing-masing.

“Tetapi, syukurlah. Akhirnya saya dapat beli karipap kambing tersebut hasil bantuan sarjan.

“Karipap ini memang tidak dijual di luar, ada di Penjara Kajang sahaja. Memang susah hendak dapat. Kalau boleh beli, itu tandanya murah rezeki.

“Alhamdulillah, rasa karipap kambing ni sedap sangat,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button