27 ‘influencer’ ditahan kerana promosi judi online

Oleh – Syeikh Baran


27 ‘influencer’ ditahan kerana promosi judi online
Gambar Hiasan

Seramai 27 pempengaruh media sosial termasuk 23 wanita ditahan polis di lapan negeri semalam selepas disyaki aktif mempromosikan kegiatan judi haram dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya melaksanakan serbuan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang semalam selepas dua bulan risikan.



Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 23 wanita dan empat lelaki tempatan yang berusia antara 21 dan 35 tahun.

“Modus operandi digunakan adalah mereka (pempengaruh) akan dipilih oleh sindiket yang menilai mereka dari jumlah pengikut di laman sosial. Lagi ramai pengikut lagi tinggi amaun bayaran diberikan.

“Hasil siasatan mendapati setiap pempengaruh dibayar antara RM1,500 hingga RM8,000 di satu platform media sosial, bergantung jumlah pengikut mereka di media sosial.

“Siasatan mendapati setiap pempengaruh aktif sekurang-kurangnya di dua platform media sosial,” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.



Mohd Shuhaily memberitahu, pihaknya bertindak merampas sebanyak 30 unit telefon bimbit berlainan jenama milik semua suspek seterusnya diserahkan kepada forensik untuk tindakan lanjut.

“Selain menjual produk-produk seperti produk kecantikan dan lain-lain, pempengaruh ini juga mempromosi laman kegiatan judi dalam talian.

“Semua pempengaruh dipercayai dibayar oleh beberapa sindiket judi berlainan sejak lebih setahun lalu,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket judi yang menjadi dalang utama dalam kes tersebut.



“Sindiket belum dikenal pasti sama ada warga tempatan atau warga asing. Perkara ini masih dalam siasatan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button