Lelaki ditahan intai wanita dalam tandas

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki ditahan intai wanita dalam tandas
Tangkap layar rakaman video yang tular apabila seorang lelaki tempatan ditahan selepas dikatakan mengintai seorang wanita yang sedang berada di dalam tandas di sebuah pasaraya di Batu Pahat semalam.

Polis Daerah Batu Pahat mengesahkan satu rakaman video memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual di sebuah tandas awam di sebuah pasaraya di bandar ini yang tular dalam media sosial adalah benar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam itu melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun.



Katanya, mengikut laporan, seorang wanita tempatan berusia 28 tahun yang sedang berada di dalam tandas terlihat seorang lelaki mengintainya melalui bahagian bawah dinding pemisah antara tandas.

“Melihat keadaan itu, wanita berkenaan telah menjerit untuk mendapatkan pertolongan sebelum menyemburkan air paip ke muka suspek.

“Suspek kemudiannya cuba bersembunyi di dalam tandas tempatnya mengintai bagaimana pun dapat dikesan oleh pengawal keselamatan yang bertindak sebaik mendengar jeritan wanita berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar lagi, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebaik berjaya ditahan untuk tindakan selanjutnya.



Ujarnya, susulan daripada itu suspek telah dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Jun untuk tujuan siasatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button