Lelaki gempal rompak kedai emas tak sampai seminit

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki gempal rompak kedai emas tak sampai seminit
Suspek berbadan gempal yang bersenjatakan pistol ketika merompak kedai emas di Pelabuhan Klang semalam.

Seorang perompak lelaki berbadan gempal bersenjatakan pistol mengambil masa kurang seminit sebelum melarikan beberapa barangan kemas bernilai RM27,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, suspek yang memakai topi keledar dan visor berwarna hitam turut melepaskan dua das tembakan ke lantai serta melarikan dua beg tangan milik pelanggan.



Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 4.25 petang sebelum semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan mendapati suspek telah memasuki kedai emas tersebut bersendirian sambil memegang sebuah objek dipercayai pistol sebelum dibawa ke dalam kedai itu.

Pada masa sama, beberapa orang awam yang berada di premis itu berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran suspek.



“Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke lantai dan telah mengarahkan penjaga premis untuk mengeluarkan barangan kemas namun tidak dituruti.

“Ini menyebabkan suspek seterusnya mengambil dua utas gelang dan seutas rantai emas dari meja jualan serta dua beg tangan milik pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejurus itu, suspek yang turut memakai sarung tangan berwarna putih berkenaan terus melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150 berwarna biru dengan nombor pendaftaran tidak pasti.

Hoong Fong menjelaskan, pemeriksaan dilakukan unit forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menemui beberapa barangan kes termasuk satu kelongsong peluru.



“Usaha mengenalpasti dan memburu suspek terlibat masih giat dilakukan dengan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 iaitu melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button