Lelaki larikan Honda City mengaku miliki senjata, ceroboh rumah orang

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki larikan Honda City mengaku miliki senjata, ceroboh rumah orang
TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Raub, Pahang hari ini.

Seorang lelaki yang melarikan kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Kuantan baru-baru ini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Raub di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu memiliki senjata berjadual, menceroboh rumah dan menggunakan dadah.

Tertuduh Shahrul Ezwan Nordin,40, yang kelihatan tenang dan tersenyum mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Aisah Mohamed dan Majistret Siti Aisyah Ahmad.



Pendakwaan di Mahkamah Sesyen dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S.Punitha manakala di Mahkamah Majistret dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zamharir Mohamad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen tertuduh pada pukul 10 malam 4 Jun lalu di lot 4078 Kampung Chinta Manis, Bentong didapati memiliki senjata berjadual iaitu dua bilah gunting berwarna hitam dan merah, satu bilah pisau lipat warna merah dan satu bilah pisau warna kuning tanpa kebenaran yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.

Siti Aisah kemudiannya menetapkan 27 Jun ini bagi penyediaan fakta kes dan hukuman selepas berlaku pindaan pertuduhan dalam kes berkenaan.



Dalam pada itu menurut kertas pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret tertuduh didakwa pada pukul 10 malam 4 Jun lalu di lot 4078 Kampung Chinta Manis di Bentong telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam rumah milik Khadijah Abu Kasim tanpa kebenaran.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan ketiga dalam mahkamah sama pula, tertuduh pada pukul 12 tengah hari pada 5 Jun lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah jenis amphetamine dengan cara yang salah.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.



Dalam prosiding di mahkamah itu tertuduh memohon hukuman diringankan memandangkan tertuduh yang berpendapatan RM2,000 sebagai kontraktor menyara seorang isteri dan empat orang anak.

Siti Aisyah kemudianya menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dari tempoh tertuduh ditangkap bagi pertuduhan kedua manakala bagi pertuduhan ketiga sebutan semula kes pada 11 September depan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button