Serangan balai polis: Azza Fahmi, Syafiq dinaikkan pangkat secara posthumous

Oleh – Syeikh Baran


Serangan balai polis: Azza Fahmi, Syafiq dinaikkan pangkat secara posthumous
Saifuddin bersama ibu bapa anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pulapol, hari ini. – Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu dinaikkan pangkat secara posthumous hari ini.

Majlis kenaikan pangkat itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang diterima ibu bapa kedua-dua Allahyarham pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous serta Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Menteri Dalam Negeri Bersama PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini.



Ibu bapa kepada kedua-dua anggota polis tersebut turut menerima pampasan masing-masing RM216,632 dan RM213,586 membabitkan antaranya bantuan mengurus jenazah dan syer kerajaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Saifuddin berkata, pampasan yang diserahkan tersebut bertujuan meringankan beban keluarga sekali gus menjaga kebajikan mereka.

“Bukan nilai ratusan ringgit yang diutamakan, tetapi ia bertujuan meringankan beban keluarga. Kita tidak boleh gantikan kesedihan kehilangan ahli keluarga dengan wang ringgit.

“Bagaimanapun aspek kebajikan ahli keluarga, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa kita jaga dan ia memperlihatkan hubungan polis dengan ahli keluarga mangsa tidak akan terputus,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.



Selain itu, tiga lagi anggota Balai Polis Ulu Tiram turut dinaikkan pangkat secara meean iaitu Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, Konstabel Mohd. Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, modul latihan yang diterima anggota polis membolehkan mereka berdepan situasi kritikal.

Katanya, ia sekali gus membuktikan modul tersebut berkesan serta berupaya melahirkan anggota polis yang berpengetahuan dan berkemahiran.

“Modul tersebut bukan statik dan sentiasa ada pengubahsuaian. Kalau dahulu ada ancaman zaman darurat atau komunis, itu sesuai dengan modul zaman tersebut,” ujarnya.



Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor kekal ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Buat masa ini mereka kekal seperti diumumkan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) iaitu ditahan di bawah Sosma.

“Undang-undang itu membolehkan kita untuk guna pakai dan (untuk) maksud proses (siasatan) yang berlaku untuk membolehkan siasatan berlangsung.

“Mereka juga ada pilihan untuk membawa peguam kerana Sosma membenarkan untuk (suspek) berbuat demikian,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button