Siasatan bunuh Zayn Rayyan diteruskan jika ada bukti baharu

Oleh – Syeikh Baran


Siasatan bunuh Zayn Rayyan diteruskan jika ada bukti baharu
Zayn Rayyan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak untuk meneruskan siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat bukti baharu yang membawa kepada seksyen tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain bagaimanapun berkata, setakat ini, siasatan di bawah seksyen berkenaan sudah selesai.



“Seperti saya katakan semalam, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah tamat dengan pendakwaan semalam mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Namun, sekiranya ada pendedahan-pendedahan (bukti) yang membawa kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) boleh mengarahkan kami dan kami sendiri akan menyiasat semula (mengikut seksyen berkenaan),” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pasangan berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.



Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Shuhaily berkata, tindakan JKM itu adalah berasaskan tanggungjawab moral dan undang-undang.

“Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka telah dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button