Wanita dipecat majikan angkuh kerana ambil cuti sakit
Oleh – Syeikh Baran
Seorang wanita yang menjadi intern dipecat oleh majikannya hanya kerana dia mengambil cuti sakit dalam kejadian di kota raya Mumbai, lapor akhbar Hindustan Times semalam.
Wanita terbabit menggunakan platform media sosial untuk berkongsi pengalaman yang telah menyebabkan dia diselubungi perasaan kecewa.
Katanya, dia berpindah dari Pune ke Mumbai untuk bekerja dengan sebuah firma guaman tetapi kemudian dipecat selepas tidak hadir ke pejabat kerana demam.
“Saya keliru kerana saya tekun melaksanakan tugas dan tiada rakan sekerja yang mempunyai sebarang aduan tentang kerja saya,” katanya.
Apabila menghubungi bahagian sumber manusia untuk bertanya tentang punca dia diberhentikan kerja, wanita itu diberitahu bahawa keputusan tersebut dibuat oleh rakan kongsi majikannya.
Pada keesokannya, dia pergi menemui rakan kongsi itu dan jawapan yang diterima adalah mengejutkan.
“Ini adalah firma saya. Saya boleh memecat sesiapa sahaja yang saya suka,” katanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE