Jika anda ditawar rasuah RM1 juta, kerajaan kembalikan ganjaran RM1 juta

Oleh – Syeikh Baran


Jika anda ditawar rasuah RM1 juta, kerajaan kembalikan ganjaran RM1 juta
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Penjawat awam yang melaporkan kes rasuah sehingga membawa kepada sabitan boleh diberi ganjaran wang, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, pemberi maklumat kepada kerajaan akan diberi ganjaran sama seperti tawaran suapan kerana membantu dalam membanteras kegiatan rasuah.



“Ringgit untuk ringgit, jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan beri anda RM100. Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan kembalikan RM1 juta kepada anda,” katanya ketika tampil dalam sebuah program radio tempatan.

Azam berkata, melalui dasar sedia ada, seramai 514 penjawat awam sudah diberi ganjaran berjumlah lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.

“Di bawah Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024-2028 yang baru diumumkan Mei lalu, skim sama boleh diperluaskan kepada masyarakat umum namun ia masih dalam peringkat cadangan.

“Perkara itu masih dalam cadangan, prosedur khusus dan optimum bersama agensi peneraju masih belum diputuskan. Itu di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).



“Pertama sekali, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperbaharui dan kami bersetuju, BHEUU kini sedang dalam proses meminda undang-undang,” katanya.

Katanya, SPRM satu-satunya agensi penguat kuasa yang menggunakan sepenuhnya undang-undang itu dan sejak tujuh tahun lalu, sudah mempromosikannya kepada orang ramai bahawa mereka harus menjadi pemberi maklumat.

“Ada tiga kategori yang tampil ke SPRM, iaitu pengadu sebenar, pemberi maklumat yang dilindungi indentitinya dan ‘whistleblower’. Pengadu sebagai contoh, perlu ke mahkamah, namun saya boleh katakan kurang daripada lima peratus mereka yang tampil ingin membuat aduan bersedia untuk beri keterangan di mahkamah.

“Bagi pemberi maklumat, identiti mereka dilindungi dengan baik. Sekarang, BHEUU ingin memberi ganjaran kepada mereka dan saya fikir itu idea yang baik, boleh menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan, terutama kepada SPRM,” katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button